Sejarah Masjid UNISEL

Sejarah Masjid UNISEL

Masjid UNISEL adalah sebuah Masjid yang didaftar dibawah kategori Masjid institusi. Lokasi Masjid UNISEL adalah ditengah-tengah kampus (Universiti Selangor, cawangan Bestari Jaya) menjadi simbolik sebagai sebuah pusat dan nadi kerohanian untuk menbangunkan kecerdasan spiritual warga kampus.

Masjid UNISEL telah siap dibina pada tanggal 01 Jun 2005 dengan kapasiti keluasan untuk solat berjemaah seramai 1000 orang Jemaah dalam satu-satu masa. Pada tanggal 08 Ogos 2011 Masjid UNISEL secara rasminya telah dirasmikan oleh DYMM Sultal Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj (Sultan Selangor). Pada awal pembenaannya, Masjid UNISEL telah diberi nama Masjid Ummar Abdul Aziz sebagai mengenang dan memperingati keagungan dan sumbangan besar Khalifah Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam yang lahir pada tahun 63H (682M) dan meninggal dunia pada 101H (720M). Beliau adalah pemimpin dan khalifah Islam kepada Bani Umaiyyah yang ke enam. Oleh kerana telah mendapat nasihat dan diperbincangkan bersama pihak JAIS/PAID kepada pihak UNISEL dan Pengurusan Masjid Universiti, maka nama yang telah dipersetujui untuk didaftarkan adalah Masjid UNISEL.

Penglibatan lebih ramai staf dan pelajar dalam organisasi Masjid telah banyak membantu meningkatkan dan memperluaskan lagi perancangan dan perlasanaan program-program dan aktiviti imarah Masjid UNISEL. Bangunan Masjid juga telah dapat dibuat penambahbaikan dengan Dewan Solat Utama telah diperindahkan dan dilengkapkan dengan penghawa dingin hasil sumbangan orang ramai. Selari dengan kepesatan kemajuan tadbir urus Masjid di peringkat negeri, Masjid UNISEL telah didaftarkan di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor dan telah diluluskan pada 10 Julai 2009 dengan no daftar : JAI.SEL.BPM/001/028/53 yang tertakluk di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 Kedah-kaedah Pegawai Masjid dan Ahli Jawatankuasa Kariah, (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Manakala Mesyuarat Jawatankuasa Kariah Majlis Agama Islam Selangor yang telah bersidang pada 24 November 2009 telah bersetuju mengesahkan status Masjid UNISEL sebagai Masjid Institusi.